Blog Cikgu BM alternatif mempelajari Tatabahasa Bahasa Malaysia serta tips menguasai Bahasa Malaysia, Blog Cikgu BM berkongsi penggunaan tatabahasa, Ejaan, Kata Sendi dan karangan UPSR yang betul untuk murid Sekolah Rendah serta anda yang ingin membetulkan kesalahan penggunaan tatabahasa Bahasa Malaysia.

Rabu, Mei 22, 2019

Kebaikan Komputer

Komputer adalah alat elektronik yang digunakan untuk menyimpan dan memproses data untuk kegunaan manusia masa sekarang dan hadapan. Komputer telah banyak membantu meringankan kerja manusia terutama dalam memproses angka dan maklumat.

 Komputer banyak kegunaannya.Antaranya ialah sebagai alat untuk mencari maklumat. Murid boleh mencari pelbagai ilmu berkaitan pelajaran mereka di sekolah. Sambungan internet pada komputer menyebabkan semua maklumat boleh diperoleh dengan mudah. Contohnya laman web pencari 'GOOGLE' memudahkan murid menyiapkan kerja kursus mereka kerana semua bahan rujukan boleh diakses dari internet.

 Selain itu komputer dapat memudahkan tugas kita. Banyak kerja menaip, menyiapkan laporan kini dilakukan dengan bantuan komputer. Oleh itu semua tugasan dapat disiapkan dengan lebih cepat dan sistematik. Kepada murid, komputer dapat membantu mereka menyiapkan kerja kursus yang diberikan oleh guru.

 Dengan bantuan komputer, semua kerja-kerja pengiraan yang rumit menjadi lebih mudah. Komputer dapat menganalisis semua data dengan lebih cepat dan tepat berbanding manusia. Sudah tentu dapat menjimatkan masa dan kos  akauntan yang bekerja di bank dan institusi kewangan lain.

 Penggunaan komputer akan menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran murid akan lebih menarik. Bantuan grafik yang berkesan seperti gambar, bunyi dan warna akan lebih menarik minat murid untuk belajar sesuai dengan zaman ledakan maklumat. Tambahan pula sebelum ini murid hanya terdedah dengan teknik menulis pada papan kapur yang membosankan. Oleh itu pemahaman murid tentang pelajaran mereka akan lebih berkesan.

 Ringkasnya komputer sangat berguna kepada manusia hari ini. Guru dan murid perlu menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya komputer kita boleh mendapat semua maklumat hanya melalui hujung jari sahaja. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan