Blog Cikgu BM alternatif mempelajari Tatabahasa Bahasa Malaysia serta tips menguasai Bahasa Malaysia, Blog Cikgu BM berkongsi penggunaan tatabahasa, Ejaan, Kata Sendi dan karangan UPSR yang betul untuk murid Sekolah Rendah serta anda yang ingin membetulkan kesalahan penggunaan tatabahasa Bahasa Malaysia.

Selasa, Februari 05, 2019

Faedah Menyertai Kegiatan Ko kurikulum

 Soalan :

 Berikan faedah menyertai kegiatan ko kurikulum


 Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti yang dilakukan di luar bilik darjah. Antaranya termasuklah aktiviti unit beruniform seperti Pengakap ,Bulan Sabit Merah ,Puteri Tunas dan sebagainya. Aktiviti sukan pula termasuklah acara sukan bola sepak ,bola keranjang, olah raga dan sebagainya.

 Dengan menyertai kegiatan kokurikulum, kita akan dapat menambah pengetahuan dan pengalaman. Aktiviti perkhemahan pengakap mengajar kita cara hidup berdikari di dalam hutan. Oleh itu kita dapat belajar teknik memasak menggunakan dapur kayu, cara untuk memasang khemah dan lain-lain. Sudah tentu kita juga akan dapat merasai pengalaman berharga  tidur di atas lantai hutan berbanding tidur di rumah yang selesa.

 Di samping itu kita juga dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah. Melalui kegiatan kokurikulum kita terlibat dengan pelbagai aktiviti. Sekiranya kita aktif dalam bidang sukan bola sepak, sudah tentu latihan akan diadakan setiap petang.Oleh itu kita terhindar daripada perbuatan melepak dan membuang masa dengan sia-sia.

 Selain itu, kegiatan kokurikulum boleh menyihatkan tubuh. Dengan menyertai aktiviti sukan badan kita akan sentiasa segar, otak pula semakin cerdas. Sekali gus mengelakkan kita daripada ditimpa sebarang penyakit seperti demam selsema dan sebagainya. 

 Kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan semua rakyat Malaysia. Setiap kelab dan persatuan mempunyai ramai ahli. Tambahan pula  ahli persatuan terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya. Apabila aktiviti secara kumpulan dilakukan, kita saling bertukar buah fikiran sekali gus merapatkan hubungan antara satu sama lain.

 Akhir sekali kegiatan kokurikulum dapat membentuk disiplin diri. Melalui kegiatan unit beruniform seperti Pengakap, Bulan Sabit Merah dan Tunas Kadet Remaja Sekolah , kita perlu berpakaian kemas, sentiasa mematuhi peraturan dan mendengar arahan ketua. Secara tidak langsung,kita dapat membentuk jati diri yang kental seperti amanah dan bertanggungjawab dalam setiap tugas yang diberikan kepada kita. 

 Oleh itu kegiatan kokurikulum banyak faedahnya.Semua murid harus merebut peluang untuk menyertai setiap aktiviti kokurikulum di sekolah. Murid yang cemerlang bukan sahaja bijak dalam pelajaran tetapi juga aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan