Tips Bahasa Malaysia

31 Julai 2018

Kepentingan Belajar Berkumpulan

    Semua orang ingin cemerlang dalam pelajaran. Banyak cara untuk mencapainya. Antaranya ialah belajar secara berkumpulan. Ramai murid kurang tahu faedah belajar secara berkumpulan.

    Antara faedah belajar secara berkumpulan ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Melalui perbincangan secara kumpulan, kita dan rakan-rakan dapat berkongsi idea dengan ahli kumpulan. Sudah tentu idea baharu akan mudah diperoleh kerana ramai ahli turut menyumbang.

    Di samping itu, kita akan lebih mudah memahami sesuatu topik pelajaran. Rakan yang faham akan membantu menerangkan topik yang kita tidak fahami. Sedikit sebanyak  akan mempengaruhi keputusan dalam pelajaran untuk lebih cemerlang.

   Dengan belajar secara berkumpulan, kita dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Kita akan berbincang tentang pelajaran dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan pelbagai latar belakang keluarga. Sudah pasti akan mewujudkan persahabatan yang lebih akrab.

   Akhir sekali dengan belajar secara berkumpulan kita boleh mengatasi rasa bosan untuk memahami sesuatu topik. Semasa belajar bersama dalam kumpulan kita boleh bertukar idea dan bertukar-tukar nota. Aktiviti ini dapat mengelakkan rasa tertekan dan menjadikan kita lebih bersemangat untuk belajar.

  Kesimpulannya belajar secara berkumpulan banyak faedahnya kerana ia merupakan salah satu teknik belajar yang amat berkesan untuk berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan