Peristiwa yang Tidak Dapat Aku Lupakan - Cikgu BM

Tip dan panduan Bahasa Malaysia

27 Ogos 2017

Peristiwa yang Tidak Dapat Aku Lupakan

     Suatu hari aku, Karim dan Abu pergi ke sebatang sungai. Cuaca hari itu panas terik.Abu mengajak kami mandi dalam sungai tersebut. Aku menolak pelawaannya. Aku teringat pesan ibu supaya menjaga diri. Karim akur dengan pujukan Abu. Aku hanya melihat dari tebing sungai.

    Ketika Abu dan Karim asyik mandi-manda, aku hanya melihat di atas tebing.Abu sangat teruja apabila dapat berenang hingga ke tebing sungai.Karim cuba mengikut rentak Abu. Tiba-tiba aku melihat Karim tercungap-cungap sambil tangannya terkapai-kapai meminta tolong. Aku semakin cemas.  Aku menjerit, memberitahu Abu bahawa Karim lemas. Karim semakin tenggelam timbul. Abu cuba menariknya ke tebing sungai.

    Malangnya arus semakin deras. Abu tidak dapat menarik tangan Karim. Abu tidak berupaya melawan arus. Karim terus hanyut sambil tangannya terkapai-kapai meminta tolong. Aku cuma mampu menangis. Aku tidak pandai berenang.

    Abu terus berenang ke tebing. Mukanya pucat. Aku dan Abu mengambil keputusan balik ke rumah memaklumkan kejadian tersebut kepada penduduk kampung. Ketua Kampung mengarahkan anak buahnya segera ke sungai. Ayahku menelefon talian kecemasan 999, menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

    Tiga hari sudah berlalu. Karim masih belum ditemui. Aku dan Abu berasa sangat kesal kerana kami punca Abu lemas dan masih hilang. Aku hanya berdoa agar Karim ditemukan dengan selamat. Abu tidak dapat menahan perasaan sedihnya.

     Hari keempat, Karim ditemukan di kuala sungai. Mayatnya tesangkut pada rumpun buluh. Aku dan Abu menangis kesedihan. Kami telah kehilangan rakan baik. Aku dan Abu memohon maaf kepada keluarga Karim. Bapa Karim tidak menyalahkan kami. Beliau menganggap sudah takdir, beliau akan kehilangan anaknya. Aku dan Abu berasa lega. Sesungguhnya peristiwa itu terus menghantuiku sehingga kini. Wajah Karim masih terbayang di ruang mataku. Suaranya masih terngiang-ngiang di fikiranku. Itulah peristiwa yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayat.